Thursday, January 26, 2012

Elektrik Masuk Kampung

Ketika bersembang dengan rakan-rakan sekerja saya yang senior, selalu juga mereka bercerita pengalaman waktu kecil. Bagaimana mereka menjalani kehidupan dalam masyarakat kampung yang tradisional, belajar dengan hanya menggunakan lampu minyak tanah dan berjalan berbatu-batu jauhnya ke sekolah. Namun, ceria-cerita tersebut tidaklah begitu menarik bagi saya, biarpun menarik bagi kawan-kawan yang lain. Kerana, ketika mereka bercerita pengalaman tersebut, ternyata pengalaman mereka waktu itu, tidaklah banyak berbeza dengan pengalaman saya sewaktu membesar. Apabila difikirkan kembali, entah mengapa, saya begitu yakin, kampung saya memang lambat membangun.

Pertama kali apabila mendapat tahu bahawa tenaga elektrik akan digunakan dan dibawa masuk ke kampung, saya tidak gembira sebaliknya takut. Dalam imej mental saya waktu itu, saya membayangkan rumah saya di kelilingi oleh wayar-wayar yang besar, bersilang-silang dan berbahaya. Saya terbayangkan bahawa saya akan mati kerana memijak wayar-wayar tersebut.

Tetapi ternyata imej tersebut khayalan liar, yang entah bagaimana boleh tercipta dalam fikiran saya. Beberapa bulan kemudian, tiang-tiang elektrik dipacak di dalam kampung. Apabila kabel dipasang, lampu-lampu elektrik menyala dan soket-soket boleh digunakan, dengan sendirinya saya menanggapi elekrtik adalah satu nikmat kehidupan. Sejak hari itu, saya tidak lagi belajar al-Quran dengan menggunakan cahaya lampu, tetapi dengan lampu arka, yang apabila dipetik pada suisnya, cahaya merata di dalam rumah.

Selepas adanya elektrik, seingat saya, beberapa bulan kemudian, abah membeli mesin pengisar. Kemudian, beberapa tahun selepas itu, barulah abah membeli radio, televisyen elektrik, peti ais dan mesin basuh. Segala kelengkapan itu, menjadi sebahagian dalam keluarga saya di kampung, tidak dalam masa yang serentak. Saya mash ingat lagi, betapa terujanya saya apabila pada suatu hari, abah pulang membawa radio berjenama Aiwa. Abah mula-mula memasangnya, dan untuk pertama kali, saya dapat mendengar suara radio kami sendiri. Begitu juga dengan televisyen. Setelah masuknya elektrik, abah entah kenapa tidak sukakan kepada televisyen, pada hal sebelum itu kami memang mempunyai televisyen yang menggunakan bateri.

Namun, saya kira, antara semua peralatan elektrik itu, mesin pengisar, radio dan peti ais paling menggembirakan emak. Mesin pengisar tentunya memudahkan proses mak memasak, walaupun jarang sekali dia menggunakannya, kecuali apabila tibanya musim perayaan, itupun untuk dibuat kuih. Dengan adanya radio, mak dapat mendengar ceramah agama yang selalunya disiarkan waktu zohor. Dan dengan adanya peti ais, mak dapat menyimpan ikan, daging dan pelbagai barang yang cepat rosak di dalamnya. Yang paling penting, dengan adanya peti ais, kami tidak lagi pergi membeli ais daripada jiran-jiran.

Namun, ada satu yang saya pelajari daripada mak. Setiap barang elektrik itu dijaga dan digunakannya dengan cermat. Sehingga ke hari ini, mesin pengisar, radio dan peti ais yang dibeli lama dahulu, masih berfungsi dengan baik. Kata mak, “Mak ni pernah susah, bila dapat barang, sayang sungguh.”

Labels:

2 Comments:

Blogger benuasuluk said...

Ni, apa hai pula dok nostalgia hari-hari ni?

1:31 AM  
Blogger lutfi said...

dah masuk 32 bang oi....hahaha

1:59 AM  

Post a Comment

<< Home