Friday, January 20, 2012

Antara orang terpelajar dengan orang yang berbudi (orang budiman)

Menurut Hj Agus Salim, dalam budaya Barat, masyarakat perlu dipimpin oleh orang yang terpelajar. Ilmu, sebagai satu kuasa - seperti yang difahami dalam falsafah moden Barat - akhirnya memberikan satu hegemoni politik kepada golongan terpelajar untuk memimpin dan menentukan arah tuju masa depan negara.

Namun begitu, menurut Hj Agus Salim lagi, hal ini sangat berbeza dengan Islam. Masyarakat tidak dipimpin oleh orang yang terpelajar, tetapi oleh orang yang berbudi. Istilah 'berbudi' itu sendiri tidak sahaja mencerminkan kapasiti kemahiran dan kepakaran dalam sesuatu bidang, malah, mempunyai akhlak yang mulia.

Penegasan Hj Agus Salim, seorang intelektual besar, pejuang kemerdekaan Indonesia dan putera terbilang masyarakat Islam ini, adalah satu kesimpulan yang tepat. Seingat saya, dalam konteks pendidikan, Prof Naquib al-Attas pernah menyatakan bahawa, tujuan pendidikan bukanlah melahirkan warganegara yang baik, sebaliknya insan yang baik (goodman). Insan yang baik pada akhirnya, mungkin akan menjadi seorang mekanik, tukang kebun, jurutera, ilmuwan dan ulama, sasterawan dan lain-lain - namun, mereka tidak pernah lupa hakikat insan. Mereka akan menjadi ilmuwan yang baik, sasterawan yang baik, tukang kebun yang baik etc.

Malah, secara leksikal sekalipun, perkataan terpelajar tidak menjamin akan keutuhan budi dan akhlak, seperti yang terkandung dalam kata didik. Orang yang terdidik dan orang yang terpelajar tidak sama. Hari ini, dalam sistem pendidikan kita, kita melahirkan individu yang terpalajar. Sesiapa yang tidak terpelajar, secara tidak langsung tidak mempunyai ruang yang luas, untuk menyumbang kepada pembangunan kemanusiaan. Sebaliknya, orang yang terdidik, sentiasa mempunyai ruang yang luas, untuk menyumbang kepada umat dan negara. Kerana,apabila kemahirannya tidak dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi, akhlak dan pekertinya yang terdidik, tentu tidak akan menyumbang kepada kebobrokan dalam masyarakat.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home