Wednesday, December 07, 2011

Zaman Orang Muda

Sekarang ini zaman orang muda. Semua peringkat masyarakat memperkatakan hal orang muda. Tiba-tiba sahaja suara orang muda menjadi penting. Dan dalam kebanyakan perhatian itu, kita akan cepat terkesan dengan konotasi jurang generasi. Maksudnya, antara satu generasi dengan satu generasi wujud perbezaan. Generasi dahulu, dengan generasi sekarang berbeza. Generasi X, Y dan Z berbeza. Mereka mempunyai 'idealisme' yang tersendiri, mereka memberontak terhadap mainstream dan seterusnya.

Saya masih muda lagi. Tetapi saya lihat, yang paling penting, bukanlah suara dari mana-mana peringkat usia, tetapi suara kebenaran itu sendiri. Jika ada orang bertanya, apa imaginasi saya tentang orang muda, maka saya akan menyatakan bahawa saya sangat berharap anak muda sekarang ini ialah anak muda yang, melakukan segala-galanya, berdasarkan pertimbangan yang rasional, yang didasarkan pada ilmu.

Dalam Islam, kata Prof. Naquib al-Attas, tidak wujud jurang generasi. Kita mempunyai seorang Insan al-Kamil, insan sempurna, iaitu junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W. Sebagai insan yang sempurna, kita boleh mencontohi segala-galanya tentang baginda. Sepanjang baginda hidup dan melaksanakan misi kenabian baginda, baginda telah menjadi contoh yang lengkap untuk manusia. Jadi, dengan mencontohi Nabi, maka sudah tentu soal jurang generasi tidak berbangkit. Kerana, kewajiban seorang Muslim itu sama sahaja, tidak ada bezanya, contohnya sama sahaja, tidak ada bezanya.

Kerana itu, kita perlu sedar, kita sangat berbeza dengan masyarakat bukan muslim. Masyarakat kristian misalnya, mereka tidak ada insan yang boleh dicontohi. Jesus Christ sendiri bukan manusia sepenuhnya. Jesus Christ dalam konteks agama Nasrani itu, setengah manusia dan setengah Tuhan. Dalam konteks masyarakat Barat yang sekular pula, generasi muda, setengah usia dan tua, masing-masing tidak boleh dicontohi kerana mereka sendiri tidak memiliki makna hidup.

Jadi, apabila isu suara orang muda penting, ya saya percaya, memang penting, selagi kehendak dan suara mereka itu, ialah suara kebenaran.

Wallahua'lam

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home