Entri kali ini, seeloknya untuk dibaca sahaja. Jangan dicontohi, atau diikuti, lebih-lebih lagi kepada penulis yang berada di bawah umur. Hal ini lebih kepada pengalaman peribadi saya. Dan kerana pengalaman peribadi manusia itu sentiasa berbeza, tidak sama - maka, sekali lagi, ambil yang buruk, buang yang keruh.
Asalnya, saya ini penulis yang merokok. Merokok, akan membantu saya dalam proses penulisan. Satu hal yang saya sedari, sewaktu saya menjadi perokok, penulisan adalah kerja penuh asyik. Saya hanya perlu duduk dan mula menulis. Ketika terputus idea, saya akan berhenti menaip, menyalakan rokok, memikirkan cara untuk menyambung penulisan, mengulit inti persoalan - sehingga ralit. Sambil melihat-lihat asap yang berkepul-kepul itu, biasanya saya tidak akan bangun dan meninggalkan meja penulisan, misalnya untuk mencari kopi. Rokok, menjadi semacam paku, untuk saya duduk diam di atas kerusi.
Tetapi, beberapa tahun lepas, saya berhenti merokok. Saya berhenti kerana memang saya mahu berhenti. Akibatnya, saya tidak merokok sehingga sekarang. Sebelum itu, memang saya cuba berhenti beberapa kali, tetapi kerana bukannya disebabkan oleh diri sendiri, maka, selepas berhenti, saya merokok kembali. Keinginan untuk berhenti merokok, mesti bermula dari dalam diri. Jika tidak, kita tidak akan berjaya.
Apabila saya berjaya berhenti merokok, satu kesan yang saya alami, ialah saya tidak boleh duduk diam di atas kerusi, sewaktu menulis. Apabila terputus idea, dan keletihan untuk menaip, saya akan bangun, melilau di dalam rumah, membuat kopi, ke rak untuk membelek buku, dan kadang-kadang lebih celaka lagi, jika mengambil alat kawalan - membuka televisyen dan memasang dvd. Kerja-kerja penulisan akan terabai. Apabila saya kembali ke kerusi untuk menulis, saya sedar - saya sudah kehilangan mood. Maka, jadilah saya seorang penulis yang tidak prolifik. Sebaliknya, saya prolifik sekali untuk minum di kedai kopi, berjumpa rakan, dan membaca buku. Tetapi tidak untuk menulis buku.
Sehingga, beberapa bulan yang lalu, ada seorang kawan menghadiahkan saya beberapa batang curut yang mahal. Maka, kerana mencurut bukanlah merokok (hehe) saya pun menyalakan curut dan menghisap curut itu. Dan, curut yang berasap wangi dan sedap itu, seakan-akan menyalakan pemikiran dan keinginan untuk menulis. Jadi, duduklah saya di kerusi, dan menulis. Seolah-olah, setelah bertahun-tahun kehilangan tenaga untuk berlama-lama di kerusi penulisan, kini, saya boleh duduk lebih lama. Apabila terputus idea, saya nyalakan curut, dan selepas itu, tenaga dan idea datang kembali. Saya tidak menyatakan idea dan tenaga itu datangnya dari curut - tentunya dari Allah. Tetapi, curut itu seakan menjadi sebab.
Kini, curut itu sudah habis. Apabila habis, saya pergi membeli curut di 7 Eleven. Dan curut mereka nyata tidak memberikan kesan yang sama. Tidak sedap, dan tidak menginspirasikan. Hendak membeli curut yang sama, tidak berkemampuan. Apabila saya fikir kembali, saya rasa - kita memerlukan satu aktiviti yang mengasyikkan, sewaktu kerja penulisan kehilangan keasyikannya. Maksud saya, apabila terputus idea atau berasa letih, kita perlu mempunyai sesuatu untuk dilakukan, agar kita tidak bangun daripada meja penulisan. Sesuatu itu, mesti mengasyikkan. Membaca buku memang mengasyikkan, tetapi jika kita membaca sewaktu menulis, kita akan mendapat sesuatu yang lebih mengasyikkan daripada menulis. Maksud saya, kita akan terlontar ke dalam isi buku, dan kita akan terperangkap.
Apapun, merokok itu membunuh.Mencurut saya tidak tahu. Seperti kata Bertrand Russel, merokok menyelamatkan nyawanya - dan dengan merokok, dia hidup umur panjang. Tentu kata-katanya itu tak betul sepenuhnya. Tapi, kata-kata itu datang dari seorang ahli falsafah yang cantik bahasanya.
Sekali lagi, entri ini hanya untuk dibaca. Jangan dicontohi dan diikuti. Kalaupun mencurut itu tidaklah sebahaya merokok yang mempunyai pelbagai bahan kimia itu....ha ha.
Labels: Pengalaman Kreatif